1.O LATAR BELAKANG
1.1 SEJARAH AWAL
Mengikut sejarah awal, Kampung Delek telah diterokai oleh sekumpulan pendatang dari Tanah Jawa kira-kira satu abad yang lalu. Perkataan “Delek” berasal dari perkataan Jawa yang bermaksud tersorok. Bersesuaian dengan keadaan kampong ini ketika itu.
Sewaktu Perang Dunia Kedua, askar-askar Jepun telah mengarahkan lebih ramai orang ke kampong ini dengan tujuan untuk bercucuk tanam.
Pertambahan penduduk itu kemudiannya diikuti dengan pembinaan sebatang jalan tanah merah secara gotong-royong. Disebabkan ketiadaan jentera moden, mereka terpaksa menggunakan tulang empat kerat untuk mengangkut tanah membina jalan sepanjang kira-kira tiga (3) kilometer itu. Penduduk kampong mengambil masa hampir setahun untuk menyiapkan jalan tersebut yang kemudiannya dikenali sebagai Jalan Jepun.
Terletak kira-kira 12 KM dari Bandar Klang, Kampung Delek telah lama membangun bersama arus pembangunan Bandar Klang. Ia kini lengkap dengan segala kemudahan infrastruktur seperti pengangkutan awam, bekalan air, elektrik dan telefon.
1.2 KELUASAN
Kampung Delek merupakan salah sebuah dari kampong tradisi yang terletak di dalam Mukim Klang, dengan keluasan 852 ekar, ia ditadbir oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang dipengerusikan oleh Tn Hj Md Lani B Hj Ab Wahid PJK selaku Ketua Kampung.
Kampung ini telah dipecahkan kepada empat (4) kawasan bagi tujuan memudahkan pentadbiran, mengenalpasti kegiatan dan pembangunan serta masalah-masalah yang dihadapi atau kawasan pentadbiran adalah seperti zon berikut :
i. Zon Kampung Delek Kanan
ii. Zon Kampung Delek Kiri
iii. Zon Kampung Delek Tengah
iv. Zon Kampung Delek Baru.
Setiap kawasan atau zon tersebut mempunyai wakil-wakil di dalam Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan mereka dipertanggungjawabkan keatas segala kegiatan aktiviti masyarakat, perancangan pembangunan dan hal ehwal yang berkaitan dengan kesejahteraan penduduk .